Skip to main content

Hubungan Kaum: Bincang Secara Hormat

09 Jun 2022 3 min read

Bookmark (0)

No account yet? Register

Artikel ini dipetik dari majalah Petir (Oktober 2021).

Baru-baru ini, Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, telah mengupas tentang masyarakat berbilang kaum dan budaya di sini. Petir mendapatkan pandangan dua Anggota Parlimen muda, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim (AP bagi Chua Chu Kang GRC) dan Cik Nadia Ahmad Samdin (AP Ang Mo Kio GRC) mengenai isu tersebut.

Apakah lagi yang boleh dilakukan untuk meningkatkan lagi keharmonian kaum di Singapura?

Encik Zhulkarnain: Arwah ibu saya pernah saksikan perarakan Kenangan Maulud bersama arwah datuk saya pada awal 1960-an apabila tercetusnya satu rusuhan kaum di Singapura. Beliau dan datuk saya menaiki bas yang turut dinaiki beberapa penumpang lain yang berbilang kaum – ada orang Cina, Melayu dan orang Singh juga. Semasa dalam perjalanan pulang, bas mereka terhenti akibat rusuhan itu.

Pada masa itu semua dalam bas rasa bimbang akan keselamatan mereka kerana rusuhan yang tercetus itu. Namun ada satu saja yang mereka fikirkan – tidak kira Melayu atau Cina atau orang India, semua mereka mahu pulang ke rumah dengan selamat. Ibu saya berpesan, insiden tersebut jadi pengajaran buat kita semua. Walaupun kita berbeza kaum dan agama, kita semua dalam sebuah bas yang sama, menuju ke destinasi yang sama.

Cik Nadia: Sejak kebelakangan ini, kita dapat lihat lebih ramai belia melibatkan diri dengan perbincangan isu-isu perkauman yang dianjurkan oleh kumpulan-kumpulan seperti Roses of Peace, HashPeace, Jamiyah, AMP, Muslim Youth Forum dan banyak lagi. Ini sangat positif. Kita harus sediakan lebih banyak wadah seperti itu dan peluang untuk masyarakat berbincang isu perkauman ini dengan secara selamat, terhormat dan terbuka.

Perbincangan terbuka dan objektif boleh membuka peluang untuk kita memahami sudut pandangan orang lain dan boleh juga membuka mata serta minda kita mengenai sesuatu isu. Kalau kita tidak membuka minda untuk mendengar pandangan orang lain, sudah tentu kita tidak akan faham cabaran dan masalah yang mereka hadapi.

“Kami mahu memberikan suara kepada orang muda untuk mengetengahkan pendapat mereka kepada pemerintah dan masyarakat. Kami mahu mengajak mereka berganding bahu dengan anggota-anggota parlimen Melayu Islam dalam memperjuangkan isu-isu yang bukan sahaja penting untuk masa depan negara kita, tetapi juga isu-isu genting yang harus ditangani pada masa kini.” — Encik Zhulkarnain

Masih ada sebilangan orang di kalangan masyarakat Melayu/Islam yang berasa diri mereka telah didiskriminasi dalam pekerjaan, di sekolah atau bahkan dalam Perkhidmatan Negara. Apa komen anda?

Encik Zhulkarnain: Saya akur adanya pengalaman individu yang menghadapi diskriminasi. Namun, saya ingin tekankan di sini bahawa Singapura dibina atas nilai-nilai demokrasi, meritokrasi dan berbilang kaum. Kita harus ada keyakinan bahawa masa depan kita tidak bergantung pada penampilan, warna kulit atau bahasa pertuturan kita. Sebaliknya ia bergantung pada kebolehan diri sendiri. Ucapan Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, sangat penting kerana ia bukan sahaja memberi keyakinan kepada masyarakat minoriti, bahkan beliau juga berbicara dengan kaum Cina sebagai kaum majoriti. Beliau menekankan kaum majoriti harus lebih peka terhadap perasaan kaum-kaum minoriti lain. Semua orang di Singapura ini ada peranan dan sumbangan kepada negara. Mungkin ada yang terlepas pandang dan kurang prihatin atau sensitif kerana kurangnya wadah untuk berinteraksi. Mungkin ada di kalangan mereka merupakan warga baharu atau pendatang baharu. Lantas, mereka mungkin kurang faham akan kepekaan masyarakat berbilang kaum kita.

Cik Nadia: Saya sendiri pernah mendengar dan membaca aduan dan keluhan tentang isu ini. Diskriminasi dalam segala bentuk (tidak kira umur, warna kulit, agama dan jantina) tidak ada tempat di negara kita. Dalam hal ini, bila kita tidak bersetuju dengan sesuatu perkara, bagaimanakah cara terbaik untuk menyuarakannya dan apakah pendekatan terbaik untuk mencapai matlamat kita? Bagaimanakah kita boleh menyuarakan pandangan kita dengan cara berhemah, tanpa membuat kesimpulan melulu ataupun membuat stereotyping. Tidak kiralah kaum majoriti atau minoriti – kalau kita tidak setuju dengan sesuatu perkara itu, kita boleh berbincang dengan berlapang dada dan berfikiran terbuka demi mencapai hasil yang positif.

Apa lagi yang dapat dilakukan PAP untuk mempromosikan keharmonian dan integrasi antara kaum di Singapura?

Encik Zhulkarnain: PAP perlu ingatkan generasi sekarang apakah nilai parti yang kekal relevan dan kenapa ia bukan saja melambangkan kesaksamaan bahkan juga memperjuangkan hak-hak minoriti di Singapura. Ini satu sebab penting. Kita juga perlu mendekati anak muda kita supaya mereka lebih kenal parti dan lebih cenderung menyumbang pada masyarakat dan negara.

Cik Nadia: PAP perlu tingkatkan wadah untuk mendekati para belia, seperti menggunakan TikTok, Clubhouse, Podcast dan IG Live. Penting juga untuk kita perkemas kini bahan rujukan kita apabila berinteraksi dengan generasi muda. Sebagai contoh, rusuhan kaum yang terjadi pada tahun 1960-an mungkin tidak begitu berkaitan dengan cabaran yang dihadapi anak muda zaman ini. Tapi, isu seperti brownface ataupun layanan istimewa jadi lebih relevan. Dengan itu, adalah penting untuk kita lebih peka dengan pengalaman hidup anak muda kita supaya isu-isu seperti ini dapat dibincangkan dengan lebih bermakna.

“MAB Muda ingin mendekati lebih ramai belia dari badan-badan advokasi, kumpulan-kumpulan maya, dan lain-lain lagi untuk bersama dengan para anggota parlimen kita menyuarakan pendapat dan saranan yang mungkin boleh diutarakan
dalam sidang parlimen.” — Cik Nadia